LOS ANGELES, 21 November- Sebuah gitar yang dibeli oleh ahli kumpulan The Beatles, George Harrison pada harga kira-kira GBP58 telah dijual dalam satu lelongan pada harga lebih GBP1 juta (AS$1.27 juta), lapor agensi berita PA Media.
Gitar elektrik jenis Futurama itu dibeli oleh gitaris kumpulan berkenaan pada 1959 ketika dia menjadi pelatih juruelektrik semasa berusia 16 tahun.
Alat muzik itu dilelong di Nashville, Tennessee pada Rabu ketika jualan Julien's Auctions bertajuk Played, Worn & Torn dengan harga AS$1.27 juta – dua kali ganda daripada anggaran awal.
Martin Nolan, pengarah eksekutif Julien's Auctions, berkata jumlah itu mencatatkan rekod dunia untuk jualan gitar George Harrison yang tertinggi.
"Gitar Futurama ikonik milik George Harrison, antara gitar terpenting dalam sejarah "rock and roll" dan formatif kepada bunyi The Beatles, telah mencipta sejarah pada lelongan hari ini," kata Nolan.
Rumah lelong itu juga menjual gitar akustik Hootenanny milik John Lennon pada harga AS$3 juta awal tahun ini dan pernah menjual gitar akustik Lennon pada harga AS$2.4 juta sebelum ini. -BERNAMA-PA MEDIA/dpa