BANGKOK, 21 November- Empat pelancong asing termasuk dua warga Denmark dan seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia akibat keracunan metanol selepas meminum arak tercemar di Vang Vieng, Laos.
Seorang wanita Australia, Bianca Jones, adalah kematian terbaru, sementara rakannya, Holly Bowles, masih dalam keadaan kritikal. Mereka mula berasa sakit selepas keluar berhibur pada 12 November.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengesahkan kejadian itu dan menyatakan simpati kepada keluarga mangsa. Kedutaan Denmark juga mengesahkan kematian dua warganegaranya di Laos.
Pihak berkuasa AS turut mengesahkan kematian seorang warganegara mereka dan sedang memberi bantuan konsular.
Kedutaan New Zealand juga melaporkan seorang warganegara mereka mungkin terlibat dalam kejadian ini.
Sementara itu, pihak berkuasa Laos telah menahan pengurus warga Vietnam di Nana Backpackers Hostel, Vang Vieng untuk disoal siasat namun tiada dakwaan dikenakan kerana penyiasatan masih dijalankan.
Vang Vieng sebelum ini terkenal dengan pesta pelancong yang berisiko, dan kini sedang berusaha menjadi destinasi ekopelancongan. -AFP