BEIJING, 3 September- Presiden China, Xi Jinping menyeru masyarakat dunia agar memilih keamanan berbanding peperangan ketika berucap pada permulaan Perarakan Hari Kemenangan sempena ulang tahun ke-80 tamatnya Perang Dunia Kedua di Beijing, hari ini.
“Kemanusiaan sekali lagi berdepan pilihan antara keamanan atau perang, dialog atau konfrontasi, serta hasil menang-menang atau permainan sifar,” kata Xi Jinping dalam ucapan pembukaan sebelum melakukan pemeriksaan pasukan tentera.
Perarakan bersejarah itu menjadi acara kemuncak sambutan Hari Kemenangan dengan tempoh 70 minit.
Perarakan tersebut menampilkan ratusan pesawat buatan tempatan, peluru berpandu, kereta kebal serta pelbagai aset ketenteraan canggih lain.
Acara tersebut turut disaksikan pemimpin dari 26 negara Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Latin, termasuk Presiden Rusia, Vladimir Putin, Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa, Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico serta Presiden Serbia, Aleksandar Vucic.
Perarakan itu disifatkan sebagai yang terbesar dianjurkan China dalam tempoh beberapa dekad, sekali gus memperingati berakhirnya Perang Dunia Kedua dan Perang China-Jepun Kedua. -VIORY