fb fb fb fb fb

Pilihan Raya Umum UK, Parti Buruh dijangka bentuk kerajaan hari ini

Foto Reuters

LONDON, 5 Julai- Pilihan Raya Umum United Kingdom, menyaksikan Parti Buruh Britain dijangka membentuk kerajaan dengan kemenangan besar.

Pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer dilapor akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri UK baharu hari ini, selepas secara rasmi dijemput Raja Charles ke-3 untuk membentuk kerajaan.

Parti Buruh kini berada pada landasan untuk menawan 410 daripada 650 kerusi di parlimen, perubahan yang menakjubkan dari lima tahun lalu, selepas ia mengalami prestasi terburuk sejak 1935.

Keputusan itu akan memberikan Buruh majoriti 170 kerusi dan akan menutup tirai 14 tahun kerajaan pimpinan Konservatif yang semakin bergolak.

"Orang di sini dan di seluruh negara telah bercakap dan mereka bersedia untuk perubahan, untuk menamatkan monopoli politik, kembali kepada politik sebagai perkhidmatan awam."

"Perubahan bermula di sini. Anda telah mengundi. Kini tiba masanya untuk kami menyampaikannya," kata Starmer selepas memenangi kerusinya di London.

Starmer akan mengemudi pemerintahan ketika negara berdepan cabaran yang menggerunkan termasuk ekonomi yang lembap, perkhidmatan awam yang tidak efisien dan taraf hidup yang merosot, semua faktor yang menyumbang kepada kekalahan Konservatif.

Parti Sunak diramalkan hanya akan memenangi 131 kerusi, prestasi pilihan raya terburuk dalam sejarahnya, ketika pengundi menghukum mereka kerana krisis kos sara hidup dan ketidakstabilan selama bertahun-tahun dan pergaduhan yang menyaksikan lima perdana menteri berbeza sejak Brexit.

"Apa yang jelas kepada saya malam ini ialah bukan Buruh memenangi pilihan raya ini, sebaliknya Konservatif telah kehilangannya," kata menteri pertahanan, Grant Shapps selepas dia kehilangan kerusinya.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM