fb fb fb fb fb

Kes tikam pemimpin politik Korea Selatan, suspek dipenjara 15 tahun

Foto Media Sosial X

SEOUL, 5 Julai- Lelaki berusia 67 tahun yang menikam pemimpin Parti Demokrat pembangkang Korea Selatan pada Januari, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh mahkamah pada Jumaat, lapor agensi berita Yonhap.

"Dalam perbicaraan hukuman di Mahkamah Daerah Busan, seorang hakim berkata jenayah yang berlaku menjelang pilihan raya umum adalah serius dan cubaan untuk memusnahkan demokrasi perwakilan," menurut laporan Yonhap.

Pendakwa raya telah memohon hukuman penjara selama 20 tahun untuk penyerang, Yonhap menamakannya sebagai Kim, namun tidak memberikan nama sebenarnya.

Lee Jae-myung, yang baharu meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Demokrat, telah ditikam di leher ketika melawat bandar selatan Busan pada Januari.

Rakaman video menunjukkan seorang lelaki memakai mahkota kertas dengan nama Lee, mendekati Lee dan meminta autograf sebelum menerjah ke hadapan dan menikam lehernya.

Serangan itu dikutuk sebagai tindakan keganasan dan protes kepada demokrasi pimpinan Presiden Yoon Suk Yeol dan ahli politik dari kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang.

Parti pimpinan Lee mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen pada April, memberikan tamparan hebat kepada Presiden Yoon dan parti konservatifnya tetapi gagal mencapai majoriti tertinggi.

Lee kalah tipis dalam pilihan raya presiden 2022 dan sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah yang dinafikannya.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM