fb fb fb fb fb

Pilihan raya Pakistan: PMLN, PPP capai persetujuan bentuk kerajaan campuran

Foto Reuters

ISLAMABAD, 21 Februari - Dua parti politik utama Pakistan telah mencapai persetujuan bersama bagi berkongsi kuasa sekali gus mengembalikan bekas Perdana Menteri, Shebaz Sharif kembali ke tampuk kuasa.

Keputusan tersebut meninggalkan ahli politik yang masih setia kepada bekas Perdana menteri yang dipenjarakan, Imran Khan meskipun mereka memenangi kerusi terbanyak pada pilihan raya yang diadakan pada awal bulan ini.

Parti Liga Muslim Nawaz (PMLN) dan Parti Rakyat Pakistan (PPP) berkata mereka telah menyelesaikan rundingan selama beberapa hari untuk mendapatkan majoriti bagi membentuk kerajaan campuran.

Kerajaan campuran tersebut turut merangkumi beberapa parti kecil.

Cadangan pembentukan kerajaan baharu itu dilihat seperti gabungan sama yang menyingkirkan bekas Perdana Menteri Imran Khan dalam undi tidak percaya pada 2022.

Rundingan itu turut mengumumkan Asif Ali Zardari, suami bekas perdana menteri Benazir Bhutto yang dibunuh, sebagai presiden Pakistan.

"Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan Liga Muslim Pakistan Nawaz (PMLN) telah mencapai majoriti dan kami akan membentuk kerajaan," kata pengerusi PPP, Bilawal Bhutto Zardari, anak kepada Zardari dan Bhutto.

"Kami berharap Shehbaz Sharif akan menjadi Perdana Menteri dan seluruh Pakistan harus berdoa agar kerajaan berjaya", tambah Zardari.

Zardari sebelum ini dilantik sebagai Menteri Luar ketika pentadbiran Sharif berkata portfolio menteri telah dipersetujui dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dewan Negara Pakistan perlu bersidang selewat-lewatnya hujung bulan ini bagi membolehkan gabungan parti itu dilulus dan disahkan.- AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD