SYDNEY, 21 Februari - Penulis China-Australia, Yang Jun tidak akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman mati yang disabitkan ke atasnya oleh mahkamah Beijing, kata ahli keluarganya pada Rabu menerusi satu kenyataan yang turut mengecam sistem keadilan negara Komunis berkenaan yang disifatkan kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Mahkamah Beijing pada awal bulan ini telah menangguhkan hukuman mati terhadap Yang selepas mahkamah mendapati dia bersalah atas tuduhan pengintipan yang dinafikan olehnya.
Hukuman mati tersebut ditangguhkan selama dua tahun dan terdapat kemungkinan besar hukuman berkenaan bertukar kepada penjara seumur hidup sekiranya para pegawai penjara berpuas hati dengan kelakuan Yang dalam tempoh berkenaan.
Yang Jun, bapa kepada dua anak itu yang mengalami kemerosotan kesihatan susulan ketumbuhan pada buah pinggangnya memberitahu keluarganya bahawa dia tidak lagi berdaya bagi melawan tuduhan ke atasnya.
"Rayuan hanya akan menangguhkan kemungkinan rawatan perubatan yang mencukupi.
"Selepas lima tahun rawatan tidak berperikemanusiaan dan pengabaian perubatan yang teruk akan dilalui Yang", kata keluarganya dalam satu kenyataan.
"Keadaan fizikalnya yang semakin merosot tidak membenarkan Yang untuk mengharungi perbicaraan seterusnya", tambah kenyataan itu.
Sebaliknya, keluarga Yang berkata mereka akan memberi tumpuan untuk mendapatkan bantuan perubatan segera untuk masalah ketumbuhan buah pinggang yang dihadapi Yang.
Sementara itu, Jurucakap kementerian luar China Mao Ning mempertahankan layanan Beijing terhadap Yang dan berkata sistem keadilan negara itu akan terus dipertingkatkan selaras undang-undang bagi melindungi hak dan kepentingan pihak terbabit.
"China adalah negara yang mempunyai kedaulatan undang-undang, dan badan kehakiman China akan mengendalikan kes yang berkaitan mengikut undang-undang," kata Mao dalam satu sidang akhbar.
Keputusan penangguhan oleh mahkamah Beijing itu meredakan tekanan terhadap hubungan China-Australia susulan kes berkenaan.
Yang Jun, warga Australia kelahiran China itu telah ditahan di China sejak 2019, dituduh mengintip dalam perbicaraan tertutup yang dikecam hebat oleh aktivis hak asasi manusia.
Penulis dan ahli akademik itu, yang juga menggunakan nama pena Yang Hengjun, sebelum ini memberitahu penyokongnya, dia diseksa di tapak tahanan rahsia dan khuatir pengakuan paksa boleh digunakan terhadapnya.-AFP