fb fb fb fb fb

Wanita Lubnan maut, Hizbullah lancar serangan balas terhadap Israel

Kesan serangan udara Israel di bandar Ghaziyeh, selatan Lubnan/AFP

BEIRUT, 22 Februari- Seorang wanita terkorban dalam serangan Israel di selatan Lubnan.

Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan mangsa kekejaman Israel itu dikenali sebagai Khadija Salman terbunuh dan anak perempuannya cedera parah dalam serangan Israel di kampung selatan Majdal Zun.

Sumber hospital yang enggan dikenali mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia dan anak perempuannya dalam keadaan serius, sambil menambah bahawa seorang gadis muda turut terbunuh.

Pasukan penyelamat turut memaklumkan beberapa orang yang lain cedera dan dikejarkan ke hospital.

Susulan kejadian itu, Hizbullah melancarkan serangan balas terhadap Israel.

Hizbullah yang disokong Iran dan musuh ketatnya Israel telah berbalas tembakan hampir setiap hari merentasi sempadan sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas meletus pada awal Oktober tahun lalu.

Hizbullah melepaskan beberapa roket ke arah Kibbutz Matzuva di seberang sempadan di Israel "sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas kampung dan rumah orang awam" termasuk Majdal Zun.

Mereka juga mengaku bertanggungjawab terhadap 11 serangan lain terhadap kedudukan tentera Israel di sempadan.

Menurut pengiraan AFP, sekurang-kurangnya 271 orang terbunuh di Lubnan melibatkan lebih 40 orang awam dan majoritinya adalah pejuang Hizbullah.-AFP

ROSLINA BINTI DIN