KOSOVO, 28 Disember – Perdana Menteri Kosovo, Albin Kurti mengundi dalam pilihan raya parlimen luar biasa pada Ahad ketika partinya berusaha memperoleh majoriti bagi menamatkan kebuntuan politik selama setahun yang telah melumpuhkan Parlimen dan menunda pembiayaan antarabangsa bagi negara termuda di Eropah itu.
Pilihan raya itu merupakan yang kedua pada tahun ini selepas parti Vetevendosje milik Kurti gagal memperoleh majoriti pada Februari lalu.
Rundingan pembentukan kerajaan yang gagal mendorong Presiden Vjosa Osmani membubarkan Parlimen pada November dan mengumumkan pilihan raya awal.
Kegagalan membentuk kerajaan berpotensi melanjutkan krisis pada masa yang kritikal.
Ahli parlimen perlu memilih presiden baharu pada April serta meratifikasi perjanjian pinjaman bernilai 1 bilion euro (AS$1.2 bilion) daripada Kesatuan Eropah dan Bank Dunia yang akan tamat tempoh dalam beberapa bulan akan datang.
Parti pembangkang enggan memerintah bersama Kurti, mengkritik pengurusan beliau terhadap hubungan dengan sekutu Barat dan pendekatannya terhadap utara Kosovo yang berbilang etnik, termasuk kawasan minoriti Serbia.
Kurti menuding jari kepada pembangkang atas kebuntuan tersebut. -REUTERS