fb fb fb fb fb

Pilihan Raya India: Penyertaan ketua pemisah Sikh hadirkan kebimbangan kerajaan

Foto REUTERS

KHADOOR SAHIB, 31 Mei- Pemimpin Pemisah Sikh yang dipenjarakan, Amritpal Singh mengesahkan pencalonan untuk bertanding pada pilihan raya umum negara berkenaan.

Amritpal 31, ditahan di sebuah penjara yang mempunyai tahap keselamatan ketat di Assam, kira-kira 3,000 km (kilometer) dari Khadoor Sahib, iaitu kawasan yang ditandinginya di Negeri Punjab.

Menurut pengurus pilihan raya, kempen Amritpal mendapat sokongan baik daripada pengundi dan mampu mencetuskan kebimbangan kepada New Delhi yang berusaha untuk menghapuskan sebarang kebangkitan kumpulan pemisah Sikh.

Amritpal ditahan pada tahun lepas dan dipenjarakan bawah undang-undang yang ketat selepas dia dan beratus-ratus penyokongnya menyerang sebuah balai polis dengan membawa beberapa senjata seperti pedang dan senjata api, menuntut pembebasan salah seorang pembantunya.

Sekiranya menang pada pilihan raya yang dijadualkan pada 1 Jun ini, ia mampu memberi sedikit legitimasi kepada Amritpal dan mencetuskan kebimbangan mengenai kebangkitan semula kumpulan berkenaan yang telah membunuh ribuan orang awam pada 1970-an dan 1980-an.

"Orang ramai akan membuat keputusan mereka pada 1 Jun," kata bapa Amritpal, Tarsem, 61, merujuk kepada pengundian di kawasan itu pada Sabtu. "Mereka akan menghantar mesej penting kepada individu yang telah memfitnah imejnya, komuniti kami dan Punjab," ujar Tarsem.

Masyarakat Sikh merupakan komuniti majoriti di Punjab, namun hanya merangkumi dua peratus daripada 1.4 bilion penduduk India.

Kumpulan pemisah Sikh telah memulakan usaha untuk mendapatkan tanah air merdeka pada 1970-an, tetapi pemberontakan oleh kumpulan berkenaan berjaya dikekang kerajaan pada 1990-an.

Bagaimanapun, kumpulan pemisah Sikh kembali menjadi sebutan dunia susulan pembunuhan beberapa tokoh pemimpin Sikh di Kanada tahun lepas.

Kanada dan Amerika Syarikat (AS) menuduh India terlibat dan bertanggungjawab terhadap pembunuhan tersebut. -REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD