SYDNEY, 3 Mei – Rakyat Australia mula mengundi pada Sabtu dalam Pilihan Raya Persekutuan yang menyaksikan Perdana Menteri, Anthony Albanese dari Parti Buruh, dijangka mengekalkan jawatan mengatasi pencabarnya Peter Dutton dari blok konservatif.
Pusat pengundian dibuka pada pukul 8.00 pagi waktu tempatan di seluruh negara. Bagaimanapun, seramai lapan juta daripada 18 juta pengundi berdaftar telah mengundi lebih awal sebelum hari pengundian.
Menurut Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri Australia, puluhan ribu rakyat Australia di luar negara turut dijangka mengundi di pusat mengundi yang disediakan di 83 buah negara.
Sementara itu, Albanese menegaskan bahawa kerajaan pimpinan beliau telah membina asas kukuh sepanjang penggal ini dan memerlukan penggal kedua untuk melaksanakan dasar-dasar utama seperti meningkatkan kemampuan memiliki rumah dan mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan awam.
“Kami mahu terus mencapai kejayaan untuk Australia,” katanya.
Dalam pada itu, Dutton menyeru pengundi memilih gabungan Liberal-Nasional bagi mengembalikan semula negara itu ke landasan yang betul.
“Di bawah pemerintahan Buruh, rakyat Australia mengalami penurunan taraf hidup paling besar dalam sejarah,” katanya menerusi platform media sosial X.
Kedua-dua parti utama memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, namun beberapa tinjauan menunjukkan bahawa ketidaktentuan global yang tercetus akibat dasar tarif tidak menentu Trump menjadi isu utama dalam kempen.
Satu tinjauan Newspoll yang diterbitkan akhbar The Australian pada Jumaat menunjukkan Parti Buruh mendahului dengan 52.5 peratus berbanding 47.5 peratus untuk gabungan Liberal-Nasional, menurut sistem pengundian keutamaan dua parti di Australia.
Penganalisis politik berpendapat, Trump tidak mungkin menjadi faktor penentu utama, namun ia menambah keraguan di kalangan pengundi yang kini lebih berhati-hati. Kempen kuat Albanese serta beberapa kesilapan Dutton, termasuk cadangan kontroversi untuk mengharamkan kerja dari rumah dalam sektor awam turut memainkan peranan.
Beberapa tinjauan juga menjangkakan kemungkinan Parti Buruh membentuk kerajaan minoriti. Dalam sistem pengundian berperingkat di Australia, undi keutamaan daripada penyokong parti kecil dan calon bebas dijangka menjadi penentu.
Menurut firma penyelidik Roy Morgan, sokongan kepada calon bebas dan parti kecil telah meningkat dua kali ganda sejak 2007 dan terus menunjukkan trend menaik pada setiap pilihan raya.
Dalam pilihan raya 2022, undi utama terbahagi hampir sama rata antara Buruh (32.6 peratus), Liberal-Nasional (35.7 peratus) dan lain-lain (31.7 peratus).
Ketua Eksekutif Roy Morgan, Michele Levine, menjangkakan corak ini akan berulang dalam pilihan raya kali ini.-REUTERS