fb fb fb fb fb

Pihak berkuasa Thailand rampas produk tiruan bernilai 14 juta

BANGKOK, 13 Februari - Pihak berkuasa Thailand merampas barangan tiruan bernilai 14 juta baht termasuk beg tangan dan produk kosmetik tiruan semasa serbuan di Bangkok dan Samut Prakan.

Dalam satu kenyataan, Bahagian Polis Perlindungan Pengguna (CPPD) Thailand memaklumkan bahawa operasi bersama CPPD dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand pada 6 dan 7 Feb itu dijalankan selepas mendapat maklumat mengenai produk tiruan disimpan di premis itu - dua di Bangkok dan satu di Samut Prakan.


(Bendera Thailand / Foto hiasan)

Komander CPPD, Mejar Jeneral Anan Nanasombat berkata semua barangan itu diimport dari China dan dijual di platform e-dagang di Thailand.

“Pihak berkuasa merampas lebih 67,000 barangan tiruan termasuk produk kosmetik, beg tangan dan ubat gigi bernilai kira-kira 14 juta baht.

“Seorang warga China diberkas di sebuah gudang di Samut Prakan,” katanya sambil menambah lelaki itu didakwa di bawah Akta Produk Kosmetik dan Akta Cap Dagangan.

- BERNAMA

Media Baharu