ATHENS, 23 Jun - Pihak berkuasa Greece menahan 13 kru sebuah kapal layar kerana disyaki menyebabkan kebakaran hutan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kru berkenaan didakwa melakukan persembahan bunga api di pantai peranginan popular Pulau Hydra untuk menghiburkan tetamu, tetapi percikan api memulakan kebakaran di hanya satu-satunya hutan pain di sana.
Pada mulanya suspek cuba untuk memadamkan api tetapi kemudian menghubungi bomba dan beredar dari kawasan itu.
Mereka yang berada dalam bot lain menyaksikan insiden itu dan melaporkan kepada pihak berkuasa, lapor media Greece dan memetik pihak pengawal pantai. Mereka yang ditahan akan dibawa ke muka pengadilan, kata pihak bomba.
Datuk Bandar pulau itu menzahirkan kemarahannya dalam wawancara di televisyen dan berkata tidak kira apa tindakan kerajaan pusat, komuniti di pulau itu akan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
Bomba berjaya mengawal kebakaran hutan itu lewat petang Sabtu dengan bantuan helikopter.
Penalti yang dikanakan kerana sengaja atau dengan cuai mengakibatkan kebakaran meningkat di Greece tahun lepas, yang berulang-kali berhadapan dengan kebakaran hutan. Selain daripada penalti sehingga berpuluh ribu euro, individu boleh dipenjara maksimum 10 tahun jika didapati bersalah biarpun kebakaran itu adalah akibat kecuaian.
Sementara itu risiko kebakaran hutan kekal tinggi di beberapa bahagian tengah Greece sepanjang hujung minggu menurut pasukan Pertahanan Awam Greece. Bagaimanapun, seorang jurucakap bomba berkata pada pagi Ahad bahawa kebanyakan kebakaran telah berjaya dikawal.-BERNAMA-dpa