fb fb fb fb fb

Polis Australia siasat insiden pergaduhan bersenjata di pusat beli-belah

FOTO REUTERS

SYDNEY, 23 Jun- Polis Australia menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat satu insiden yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di bandar selatan Adelaide.

Insiden berkenaan telah menyebabkan ramai orang melarikan diri daripada pusat beli-belah tersebut sehingga sebilangan daripada mereka mengalami kecederaan ringan.

Menurut polis, pihaknya menerima aduan mengenai dua kumpulan pemuda yang bergaduh di kawasan pusat makanan di pusat beli-belah Westfield Marion, dengan beberapa orang dalam kumpulan itu dilaporkan mempunyai senjata.

"Berikutan insiden berkenaan, pihak pengurusan pusat beli-belah itu mengaktifkan penggera kecemasan yang menggesa para pengunjung supaya mengosongkan bangunan terbabit dan pusat beli-belah itu ditutup selepas amaran tersebut," dedah polis di wilayah Australia Selatan dalam kenyataannya.

"Sebilangan pembeli-belah yang mendapatkan perlindungan di kedai-kedai, dibawa keluar dengan selamat dari pusat beli-belah berkenaan.

Menurut polis, tiada ancaman berterusan terhadap orang awam, tetapi siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti kumpulan terbabit.

Penolong Pesuruhjaya Polis Australia Selatan, Scott Duval memberitahu para wartawan bahawa rakaman dari tempat kejadian menunjukkan ia "bukan serangan rambang," menurut Australian Broadcasting Corp.

Menurutnya, tiada sesiapa yang cedera dalam pergaduhan itu.

Seorang wanita berusia 77 tahun yang mungkin terjatuh ketika melarikan diri, mengalami keretakan tulang.

Seorang remaja perempuan, yang dipercayai berusia 14 tahun, juga mungkin cedera semasa cuba melarikan diri.

Insiden tersebut berlaku kurang tiga bulan selepas seorang lelaki menyerang para orang awam dengan sebilah pisau di pusat beli-belah Westfield di Sydney, yang meragut enam nyawa.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI