fb fb fb fb fb

Pihak berkuasa Chile tingkat tahap amaran di sekitar gunung berapi Lascar

(FOTO AFP)

SANTIAGO, 29 Januari - Pihak berkuasa Chile meningkatkan tahap amaran dan akses terhad ke kawasan sekitar gunung berapi Lascar, semalam selepas peningkatan aktiviti seismik menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlaku letusan.

Gunung berapi itu terletak di kawasan berhampiran sempadan Bolivia yang jarang didiami tetapi merupakan salah satu kawasan paling aktif dari segi geologi di utara Chile.

Berikutan peningkatan tahap kegempaan, Agensi Perkhidmatan Geologi dan Perlombongan Kebangsaan telah menaikkan tahap amaran untuk Lascar daripada kuning kepada oren.

Ekoran peningkatan aktiviti seismik itu, agensi turut meramalkan gunung berapi Lascar akan memuntahkan abu dan gas panas ke udara sehingga ketinggian melebihi lima kilometer dari kawah.

(FOTO AFP)

Susulan itu, pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi bandar sekitar termasuk destinasi pelancongan popular, San Pedro de Atacama yang terletak kira-kira 70 kilometer dari kawasan berkenaan.

Selain itu, perimeter keselamatan di sekitar kawah akan dipanjangkan daripada lima hingga 10 kilometer.

Gunung berapi Lascar, yang mencapai sehingga 5,592 meter (18,350 kaki), terletak kira-kira 1,600 kilometer (1,000 batu) di utara ibu kota Santiago.

Kali terakhir ia meletus ialah pada tahun 1993.

Gunung berapi Villarrica di selatan yang juga merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di Chile, turut di pantau pihak berkuasa.-AFP

Media Baharu