fb fb fb fb fb

Pheu Thai bentuk gabungan baharu

(FOTO AFP)

BANGKOK, 8 Ogos- Parti Pheu Thai yang menduduki tempat kedua pada pilihan raya Thailand lalu bertindak untuk membentuk gabungan baharu bersama Parti Bhumjaithai yang menyokong kerajaan tentera pada Isnin dalam usaha menghalang campur tangan pihak tentera dan pro-raja bagi memecahkan kebuntuan politik bagi menubuhkan kerajaan baharu.

Negara 'Gajah 'Putih' itu gagal menubuhkan kerajaan setelah parti Move Forward (MFP) gagal mencapai majoriti, walaupun memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya Mei lepas, dan kemudiannya tidak disenaraikan menganggotai gabungan progresif.

Parti Pheu Thai, yang memenangi 141 kerusi mengumumkan kerjasama dengan Parti Bhumjaithai menyaksikan gabungan tersebut mempunyai 212 kerusi di Parlimen Rendah Thailand.

Pheu Thai pada Rabu lalu berkata bahawa parti Move Forward (MFP) tidak disertakan dalam gabungan tersebut kerana rancangannya bagi merombak undang-undang berkaitan kesalahan memfitnah raja menyukarkannya untuk mendapatkan sokongan parti-parti lain serta para anggota Senat.

Menurut Pengerusi Pheu Thai, Chonlanan Srikaew, kerjasama kedua-dua parti diharap mampu memecahkan kebuntuan politik yang dialami negara berkenaan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Parti Bhumjaithai yang sudi menerima pelawaan.

"Diharapkan pelawaan ini mampu menjadi langkah pertama dalam usaha memecahkan kebuntuan politik Thailand", kata Srikaew pada sidang media.

Menurut Srikaew, kedua-dua parti akan cuba mendapatkan sokongan daripada part-parti lain bagi membolehkan kerajaan baharu dibentuk secepat mungkin.

"Kami mahu semua parti menyokong kesemua calon dari parti Pheu Thai", katanya Srikaew.

Meskipun dengan jumlah kerusi yang digabungkan, Pheu Thai dan Bhumjaithai tidak akan mempunyai majoriti dalam parlimen yang mempunyai 500 kerusi.

Sementara itu, Pengerusi Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul berkata kerjasama bersama Pheu Thai dilakukan atas tiga syarat, antaranya menolak rombakan undang-undang berkaitan kesalahan memfitnah raja.

"Ketiga, sekiranya Parti Pheu Thai mengetuai kerajaan , Parti MFP tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan", katanya.

Minggu lalu, Parlimen Thailand menangguhkan pengundian bagi memilih Perdana Menteri baharu negara itu sekali gus menjadikan kebuntuan politik di negara ini berlarutan hampir tiga bulan sejak pilihan raya umum berlangsung pada 14 Mei lalu.-AFP


(Pengerusi Parti Pheu Thai, Chonlanan Srikaew (kiri) dan Pengerusi Parti Bhumjaithai
Anutin Charnvirakul dalam satu sidang media/FOTO AFP)

Media Baharu