JAKARTA, 8 Ogos- Presiden Indonesia,Joko Widodo hari ini berkata penyelesaian konflik Myanmar yang sudah memasuki tahun ketiga memerlukan 'kemahuan politik' daripada semua pihak.
"Kita menyedari situasi yang berlaku di Myanmar sangat mencabar.
"Kita juga sedar situasi tersebut hanya boleh diselesaikan menerusi 'kemahuan politik daripada semua pihak", kata Jokowi acara ulangtahun sambutan ASEAN ke-56 hari ini.
Pemimpin Indonesia turut menegaskan 10 anggota ASEAN termasuk Myanmar perlu terus bekerjasama bagi mencari jalan bagi menyelesaikan isu di Myanmar.
"ASEAN adalah seperti sebuah kapal besar yang perlu terus bergerak ke hadapan.
"Kapal ini perlu terus belayar.
"Kapal tersebut tidak boleh karam, kerana ia adalah tanggungjawab kita membawa ratusan juta rakyat di dalamnya", kata Jokowi.
Menurut Jokowi, usaha ASEAN untuk menyelesaikan krisis itu akan diteruskan mengikut perjanjian lima perkara yang dipersetujui dengan junta Myanmar dua tahun lalu.
Tetapi junta tentera Myanmar mengabaikan perjanjian itu, yang bertujuan bagi menamatkan keganasan dan menyambung semula perbincangan antara tentera dan gerakan antirampasan kuasa.
ASEAN sebelum ini dilihat tidak sepakat berkaitan rampasan kuasa oleh junta tentera Myanmar pada 2021 kerana tiada tindakan bagi menguatkuasakan perjanjian lima perkara.
Thailand sebagai contoh telah mengambil pendekatan berasingan kepada usaha ASEAN dengan menganjurkan "rundingan tidak rasmi" dengan menteri luar junta Myanmar.
Bulan lalu, diplomat tertinggi Bangkok dilaporkan menemui pemimpin demokrasi yang digulingkan Suu Kyi dan berkata pemimpin itu berada dalam keadaan sihat.
Pihak junta telah memberi pengampunan kepada pemimpin berusia 78 tahun itu dan mengurangkan tempoh hukuman 33 tahun kepada enam tahun penjara.
Myanmar telah dilanda keganasan dalam tempoh dua tahun sejak pemimpin awam Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa dan tuduhan 19 kes jenayah daripada rasuah hingga melanggar peraturan Covid-19.
Indonesia merupakan pengerusi ASEAN tahun ini dan bakal menjadi tuan rumah sidang kemuncak pada September ini.
Jakarta telah melaksanakan diplomasi senyap dengan junta Myanmar dalam usaha untuk membawa Myanmar kembali ke meja rundingan.-AFP
(FOTO FB Jokowi)