WASHINGTON, 8 Ogos - Pejabat kerajaan Amerika Syarikat (AS) ditutup awal pada Isnin akibat cuaca buruk ketika pihak kaji cuaca negara itu memberi amaran kepada penduduk di timur negara itu kemungkinan berlakunya puting beliung, angin kencang dan hujan batu di kawasan berkenaan.
Menurut laman sesawang PowerOutage.us, ribut petir berkelajuan tinggi dan angin kencang telah menumbangkan pokok serta menyebabkan bekalan elektrik terputus di hampir 200,000 rumah dan perniagaan di Maryland dan Virginia.
Manakala kira-kira 800,000 pelanggan terjejas akibat terputus bekalan elektrik di selatan dan tengah negeri Atlantik.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, lebih 29.5 juta orang dari Alabama ke barat New York berisiko dilanda puting beliung semalam, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat 9 malam waktu tempatan.
Sementara itu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan aktiviti penerbangan dihentikan di lapangan terbang di New York, Washington, Philadelphia, Atlanta dan Baltimore akibat ribut petir.
Beberapa premis seperti perpustakaan, muzium, zoo, kolam renang dan perkhidmatan perbandaran dan persekutuan lain di kawasan Washington juga ditutup awal.
Pejabat Pengurusan Kakitangan AS berkata, para pekerja persekutuan perlu meninggalkan tempat kerja selewat-lewatnya jam 3 petang.-REUTERS
(FOTO AFP)