fb fb fb fb fb

Loji nuklear Ukraine beroperasi sepenuhnya untuk musim sejuk

(Kilang Yuzhnoukrainsk di selatan Ukraine/Wikipedia)

YUZHNOUKRAINSK, 8 Ogos- Loji janakuasa nuklear Ukraine yang terletak di wilayah dikuasai Kiev akan beroperasi sepenuhnya menjelang musim sejuk untuk membekalkan tenaga elektrik kepada negara itu, kata pengendali tenaga atom Ukraine.

"Semua kuasa yang ada akan diberikan kepada grid elektrik", selepas penyelenggaraan beberapa reaktor sebelum musim sejuk," ketua Energoatom, Petro Kotin memberitahu wartawan.

Beliau bercakap di kilang Yuzhnoukrainsk di selatan Ukraine untuk menandakan pentauliahan semula satu daripada tiga reaktornya -- setiap satu dengan kapasiti 1,000 megawatt.

Ukraine kini mempunyai tiga stesen janakuasa dengan sejumlah sembilan reaktor di wilayah bawah kawalannya.

"Kami akan memasuki musim sejuk dengan sembilan reaktor pada kapasiti penuh," kata Kotin, sambil menambah empat reaktor yang sedang dalam pembaikan akan beroperasi sebelum November, dengan jumlah kapasiti hampir 7,600 megawatt.

Stesen janakuasa nuklear keempat, yang juga terbesar di Eropah, ialah loji Zaporizhzhia yang menempatkan enam reaktor.

Ia telah diduduki oleh tentera Rusia sejak Mac 2022.

Kotin berkata adalah penting untuk mendapatkan semula kawalan loji Zaporizhzhia, dengan kapasiti 6,000 megawatt bagi membekalkan elektrik ke Ukraine.

(Loji Tenaga Nuklear Ukraine Selatan berhampiran bandar Yuzhnoukrainsk di Mykolaiv/AFP)

Sejak awal Jun, tentera Kiev mengetuai serangan balas di kawasan berhampiran Zaporizhzhia di timur dan selatan Ukraine, dalam usaha merampas semula wilayah yang dipegang oleh Rusia susulan permulaan pencerobohan pada Februari 2022.

Menurut Kotin, stesen janakuasa nuklear Ukraine tidak "terjejas secara langsung" oleh gelombang serangan Rusia terhadap infrastruktur tenaga pada musim luruh dan musim sejuk tahun lalu, yang memutuskan bekalan kuasa kepada berjuta-juta kediaman.

Ketua Energoatom itu tidak terkejut dengan kenyataan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, bahawa mereka tidak menemukan bahan letupan di atas bumbung loji Zaporizhzhia.

Pada awal Julai, Ukraine menuduh Moscow melakukan "provokasi", dengan tentera mendakwa bahawa "objek serupa dengan bahan letupan telah diletakkan" di atas bumbung reaktor tiga dan empat.

Pakar IAEA "mempunyai akses yang sangat terhad. Mereka mempunyai akses ke bumbung dua unit (daripada enam). Mereka tidak diberi kuasa untuk pergi ke unit lain... Mereka (tentera Rusia) tidak membenarkan akses", kata Kotin. -AFP

Media Baharu