fb fb fb fb fb

Pfizer-BioNTech mula ujian klinikal vaksin khusus Omicron

FOTO AFP

WASHINGTON, 26 Januari- Pfizer dan BioNTech sudah memulakan pendaftaran untuk ujian klinikal bagi menguji keselamatan dan tindak balas imun vaksin COVID-19 khusus untuk Omicron dalam kalangan individu dewasa berusia sehingga 55 tahun.

Ketua penyelidikan vaksin Pfizer, Kathrin Jansen, berkata walaupun data terkini menunjukkan dos penggalak semasa mampu memberi perlindungan daripada kesan buruk Omicron, syarikat itu mengambil inisiatif untuk berhati-hati.

"Kami melihat keperluan untuk bersedia sekiranya perlindungan semasa berkurangan mengikut masa dan untuk membantu mengatasi Omicron dan varian baharu lain pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, CEO BioNTech, Ugur Sahin, berkata perlindungan vaksin asal terhadap kesan ringan dan sederhana selepas dijangkiti COVID-19, dilihat berkurangan dengan pantas apabila menentang Omicron.

"Kajian ini adalah sebahagian daripada pendekatan berasaskan sains untuk membangunkan vaksin berasaskan varian yang mencapai perlindungan yang sama terhadap Omicron, seperti mana varian sebelum ini, namun dengan tempoh perlindungan yang lebih lama," katanya.

Ujian klinikal itu akan membabitkan 1,420 individu berusia 18 hingga 55 tahun.

Seorang jurucakap Pfizer berkata, ujian itu tidak membabitkan individu berusia melebihi 55 tahun kerana matlamat kajian adalah untuk meneliti tindak balas imun peserta yang diberikan dos, berbanding jangkaan keberkesanan vaksin.

Ujian itu dilaksanakan di seluruh Amerika Syarikat (AS) dan Afrika Selatan, manakala peserta pertama diberikan suntikan di Carolina Utara.

Peserta diasingkan kepada tiga kumpulan, pertama membabitkan individu yang sebelum ini menerima dua dos vaksin Pfizer-BioNTech dalam tempoh 90 hingga 180 hari sebelum terbabit dalam kajian itu, dan akan menerima satu atau dua dos vaksin Omicron.

Kumpulan kedua membabitkan individu yang sudah menerima tiga dos vaksin semasa dalam tempoh 90 hingga 180 hari sebelum kajian, dan akan diberikan sama ada satu lagi dos vaksin asal atau vaksin khusus untuk Omicron.

Kumpulan ketiga adalah individu yang belum pernah menerima vaksin COVID-19, dan akan diberi tiga dos vaksin khusus untuk Omicron.

Memandangkan vaksin Pfizer-BioNTech adalah menggunakan teknologi RNA, ia adalah lebih mudah untuk dikemaskini dengan kod genetik varian baharu. -AFP

Media Baharu