fb fb fb fb fb

Petinju legenda Scotland, Ken Buchanan meninggal dunia

(FOTO REUTERS)

LONDON, 2 April- Juara dunia tinju pertama Scotland, Ken Buchanan meninggal dunia pada usia 77 tahun pada Sabtu.

Buchanan memenangi gelaran lightweight WBA pada tahun 1970 selepas menewaskan Ismael Laguna dalam pertarungan di Puerto Rico dan menambah koleksi mahkota WBC pada tahun berikutnya dengan kemenangan ke atas Ruben Navarro.

Dia memenangi 33 pertarungan sebelum menamatkan kerjaya profesionalnya dengan rekod menang-kalah 61-8.

"Dengan penuh kesedihan kami memaklumkan kepada anda bahawa Ken Buchanan meninggal dunia dengan tenang dalam tidurnya pagi ini (Sabtu)," kata Yayasan Ken Buchanan di Facebook.

"Pengumuman lanjut akan dibuat kemudian dan kami mohon untuk memberikan ruang privasi kepada keluarga mendiang menghadapai tempoh sedih ini. RIP Ken, sentiasa seorang yang budiman dan salah seorang juara terbaik yang pernah kita lihat."

Buchanan kehilangan gelaran WBC kerana gagal mempertahankannya ketika menentang Pedro Carrasco dan kemudian kehilangan tali pinggang WBA dalam kekalahan kontroversi berdepan petinju hebat Roberto Duran. Buchanan bertarung buat kali terakhir pada tahun 1982.

Dia kemudiannya dimasyhurkan ke dalam Dewan Kemasyhuran Tinju Antarabangsa, manakala patung Buchanan telah didedahkan tahun lalu di kota kelahirannya di Edinburgh.

Tahun lalu, anak lelaki Buchanan mendedahkan bapanya mengalami demensia dan tinggal di rumah jagaan.

Petinju kelas light-welterweight Josh Taylor, yang menjadi juara dunia kedua Scotland 50 tahun selepas Buchanan berkata di Twitter: "Saya sedih mendengar berita pemergian wira saya dan juara terhebat Scotland.

"RIP Ken Buchanan, Tuhan memberkatimu."-AFP


(Foto fail bertarikh 23 Jun 2000, menunjukkan bekas juara dunia

Ken Buchanan (KIRI) dipeluk oleh Mike Tyson / AFP)

Media Baharu