fb fb fb fb fb

Ecuador isytihar darurat

(Pelabuhan Guayaquil)

QUITO, 2 April- Ecuador mengisytiharkan darurat di pelabuhan utama negara dan kawasan lain yang terlibat dengan jenayah berkaitan dadah pada Sabtu.

Dekri itu membenarkan pasukan keselamatan untuk menubuhkan pusat pemeriksaan dan menjalankan penggeledahan tanpa waran terhadap orang dan harta benda.

Bercakap dalam ucapan di televisyen kepada negara itu, Presiden Guillermo Lasso berkata beliau telah mengisytiharkan darurat di pelabuhan Guayaquil dan daerah Duran dan Samborondon, serta di wilayah Santa Elena dan Los Rios.

Lasso menambah, keadaan darurat merangkumi perintah berkurung setiap malam dari pukul 1.00 pagi hingga 5.00 pagi di kawasan yang terjejas.

Tahun lalu, Lasso mengisytiharkan darurat sementara yang serupa sebanyak tiga kali di Guayaquil, yang mencatatkan lonjakan kes pembunuhan berkaitan jenayah terancang.

Lasso tidak menyatakan berapa lama darurat itu akan bertahan.

"Kami mempunyai musuh yang sama: kongsi gelap, pengedaran dadah dan jenayah terancang," kata Lasso.

Ecuador, yang terletak di antara pengeluar kokain utama Colombia dan Peru, telah dilanda gelombang jenayah kekerasan yang selalunya menyaksikan pertempuran berdarah antara kartel dadah.

Negara itu telah menjadi pusat pengedaran narkotik utama untuk dihantar ke Amerika Syarikat dan Eropah.-AFP


(Presiden Ecuador Guillermo Lasso)

Media Baharu