fb fb fb fb fb

Pesawat tentera Myanmar terlanggar landasan, empat cedera parah

Foto Media Sosial

GUWAHATI, 23 Januari- 12 orang dilapor cedera apabila sebuah pesawat tentera Myanmar melanggar landasan ketika mendarat di India pada Selasa untuk mengumpul tentera yang melarikan diri daripada pemberontak bersenjata yang memerangi junta negara mereka.

Pesawat jenis Turboprop Shaanxi Y-8 buatan China terbabas dari landasan pada tengah hari di Lengpui, lapangan terbang utama di negeri Mizoram, India.

Pegawai Pihak Berkuasa Lapangan Terbang India (AAI) di Lengpui memberitahu AFP bahawa penerbangan itu mengumpulkan 92 askar yang telah menyeberang ke India dari negara jiran, Myanmar minggu lalu.

"Empat daripada 12 mangsa, disahkan cedera parah," jelas pegawai yang enggan dikenali kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.

Rakaman susulan nahas yang disiarkan menunjukkan badan pesawat telah bengkok, kemudian memotong rumput padang yang tinggi selepas tergelincir.

Penerbangan itu sepatutnya membawa pulang kontinjen terakhir membabitkan 276 tentera Myanmar yang telah menyeberang ke India minggu lalu.

Pertempuran telah menggegarkan bahagian Myanmar yang berhampiran sempadan India sejak Tentera Arakan (AA) menyerang pasukan keselamatan pada November, menamatkan gencatan senjata yang sebahagian besarnya diadakan sejak rampasan kuasa tentera 2021.

Namun, kumpulan itu telah mengambil alih bandar utama Paletwa dan enam pangkalan tentera di sepanjang sempadan Mizoram, bulan ini.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM