fb fb fb fb fb

Angkara politik, bapa bunuh anak sendiri di Pakistan

Foto Hiasan

PESHAWAR, 23 Januari- Seorang bapa sanggup membunuh anak kandungnya selepas kedua-dua mereka bergaduh angkara bendera parti politik.

Perselisihan faham yang berlaku berpunca kerana si bapa tidak bersetuju untuk mempamerkan bendera parti Tehreek-e-Insaf Pakistan, parti yang disertai bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan di rumahnya.

Menurut polis, insiden berlaku di kawasan pinggir Peshawar, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, menjelang pilihan raya umum Pakistan.

“Bapa melarang anaknya yang baru pulang bekerja dari Qatar untuk menaikkan bendera PTI di rumah, tetapi anak lelaki itu enggan menurunkannya dan meninggalkan PTI."

“Pertengkaran semakin memuncak dan dalam keadaan marah, bapanya melepaskan satu tembakan menggunakan sepucuk pistol ke arah anak lelakinya yang berusia 31 tahun, sebelum dia melarikan diri dari rumah,” kata pegawai polis daerah, Naseer Farid.

Anak lelaki itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dan pihak berkuasa giat mencari bapa lelaki itu.

Pilihan raya Pakistan dijadual berlangsung pada 8 Februari, sering dicemari dengan keganasan selain calon menjadi sasaran pengeboman dan serangan senjata api.

"Pada minggu pertama Februari, kira-kira 5,000 pasukan separa tentera Frontier Constabulary (FC) akan ditempatkan ke wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan sebagai persediaan keselamatan," kata komander Moazzam Jah Ansari kepada AFP.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM