fb fb fb fb fb

Pesawat penumpang terhempas di Brazil, mengorbankan kesemua 61 orang di dalamnya

Tangkap layar video tular di X

SAO PAULO, 10 Ogos- Sebuah pesawat yang membawa 57 penumpang dan empat anak kapal terhempas pada Jumaat di negeri Sao Paulo, Brazil, mengorbankan semua orang di dalamnya, menurut syarikat penerbangan tersebut.

Pesawat tersebut, ATR 72-500 yang dioperasikan oleh syarikat penerbangan Voepass, sedang dalam perjalanan dari Cascavel di negeri Parana selatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Guarulhos di Sao Paulo apabila ia terhempas di bandar Vinhedo.

Pada mulanya, Voepass mengatakan pesawat itu membawa 58 penumpang, tetapi kenyataan di laman web syarikat penerbangan itu kemudian mengubah angka tersebut kepada 57.

Imej yang disiarkan di media tempatan menunjukkan pesawat tersebut berpusing sambil menjunam hampir secara menegak, manakala rakaman lain menunjukkan asap tebal berkepul dari lokasi nahas di kawasan yang kelihatan seperti kawasan perumahan.

“Tiada mangsa yang terselamat,” kata pihak berkuasa tempatan bandar Valinhos yang terlibat dalam operasi menyelamat.

Vinhedo, yang mempunyai kira-kira 76,000 penduduk, terletak kira-kira 80 kilometer di barat laut Sao Paulo.

Proses mengeluarkan mayat mangsa untuk dikenal pasti telah bermula dan "akan diteruskan sepanjang malam," kata Gabenor Negeri Sao Paulo, Tarcisio de Freitas kepada pemberita di tempat kejadian.

Presiden Luiz Inacio Lula da Silva telah mengisytiharkan tiga hari berkabung.

Voepass berkata ia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menentukan punca kemalangan, sambil memberikan bantuan penuh kepada keluarga mangsa penerbangan.

Pesawat tersebut, sebuah pesawat turboprop enjin berkembar, berlepas "tanpa sebarang sekatan penerbangan, dengan semua sistemnya berfungsi," kata syarikat itu.

Agensi penyiasatan kemalangan penerbangan Brazil, CENIPA, telah melancarkan satu siasatan.

ATR, pembuat pesawat Franco-Itali dan anak syarikat Airbus, berkata pakarnya sedang bekerja untuk membantu proses penyiasatan.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE