fb fb fb fb fb

Ketua pelajar mahu Hasina dihadapkan ke muka pengadilan

Ketua Pelajar, Nahid Islam mahu bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dihadapkan ke muka pengadilan atas kekejaman yang dilakukannya/Foto REUTERS

DHAKA, 10 Ogos-Ketua pelajar Bangladesh yang menjadi punca kepada peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina mahu agar tokoh berkenaan dihadapkan ke muka pengadilan sebaik sahaja dia pulang negara itu.

Ketua pelajar berkenaan, Nahid Islam yang berkata Hasina perlu bertanggungjawab terhadap pembunuhan ratusan pelajar ketika berlakunya rusuhan di negara berkenaan yang menyebabkan Hasina meletakkan jawatan dan melarikan diri ke India.

"Saya hairan mengapa dia melarikan diri daripada negara ini", kata Islam yang turut menjadi sebahagian Menteri di dalam kerajaan peralihan yang diketuai oleh pemenang Nobel Keamanan, Muhammad Yunus.

"Kami akan menuntut keadilan terhadap kesemua pembunuhan yang berlaku di bawah pentadbirannya.

"Ini juga merupakan sebahagian daripada tuntutan revolusi kami. Tidak kira apa pun yang berlaku sekiranya dia tidak kembali. Kami akan berusaha ke arah itu", katanya kepada Reuters dalam wawancara pertamanya selepas menyertai kerajaan peralihan sebagai penasihat.

"Kami akan menahannya sama ada melalui sistem kehakiman atau tribunal khas. Kami sedang berbincang untuk menyegerakan proses berkenaan", katanya yang mengetuai Kementerian Pos, Telekomunikasi dan Pos.

Kira-kira 300 orang pelajar terbunuh dalam protes yang bermula pada Julai disebabkan ketidakpuasan hati para pelajar terhadap kuota kerajaan berhubung pekerjaan.

Ketidakpuasan hati berkenaan bertukar menjadi protes ganas yang menyebabkan Hasina meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas 15 tahun memerintah negara Asia Selatan itu.

Jumaat lalu, Anak lelaki Hasina, Sajeeb Wazed Joy memberitahu hasina bakal pulang ke Bangladesh dari India sekiranya kerajaan peralihan yang baharu dibentuk mengumumkan pilihan raya yang perlu diadakan dalam tempoh tiga bulan seperti yang dituntut oleh pembangkang negara berkenaan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD