fb fb fb fb fb

AS kata anak El Chapo serah diri, manakala El Mayo ditahan tanpa kehendaknya

Ismael "El Mayo" Zambada (KIRI) dan Joaquin Guzman Lopez

MEXICO CITY, 10 Ogos- Ketua kartel dadah Mexico, Ismael "El Mayo" Zambada, telah ditangkap di Amerika Syarikat selepas dibawa ke sana "tanpa kehendaknya" bersama seorang anak bekas rakan kartelnya, menurut Duta Besar Amerika Syarikat ke Mexico, Ken Salazar, pada hari Jumaat.

"Zambada ditahan tanpa kehendaknya manakala Joaquin Guzman Lopez menyerah diri secara sukarela", kata Salazar dalam satu sidang akhbar, dua minggu selepas pemimpin-pemimpin kartel Sinaloa tersebut mendarat dengan sebuah pesawat peribadi di negeri New Mexico, Amerika Syarikat.

"Saya mahu anda memahami dengan jelas, tiada sumber dari Amerika Syarikat yang terlibat dalam operasi ini," kata Salazar lagi.

Kenyataan Salazar dibuat beberapa jam selepas Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, mengeluh bahawa tiada kerjasama dari Washington untuk menjelaskan keadaan sekitar penangkapan Zambada dan Guzman.

"Mereka tidak memberikan kami maklumat yang mencukupi," kata Lopez Obrador dalam satu sidang akhbar pada hari Jumaat.

Bapa Guzman, Joaquin "El Chapo" Guzman, bersama Zambada mengasaskan kartel Sinaloa pada tahun 1990-an, yang sejak itu telah menjadi salah satu operasi jenayah paling berkuasa di Mexico, bersaing dengan kartel Jalisco New Generation.

Zambada, 76, berjaya mengelak daripada ditangkap sepanjang hidupnya dan merupakan pengedar dadah yang paling dikehendaki di Amerika Syarikat, dengan ganjaran sebanyak AS$15 juta ditawarkan untuk maklumat yang boleh membawa kepada penangkapannya.

Sementara itu, Guzman Lopez telah diekstradisi ke Chicago di mana dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan pengedaran dadah.

Keganasan jenayah yang semakin meningkat telah menyaksikan lebih daripada 450,000 orang dibunuh di Mexico sejak kerajaan bekas presiden Felipe Calderon melancarkan serangan ketenteraan terhadap kumpulan-kumpulan dadah pada tahun 2006.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE