fb fb fb fb fb

Keluarga mangsa nahas pesawat Brazil tunggu pengesahan

FOTO REUTERS

PARANA, 10 Ogos - Keluarga penumpang pesawat terhempas pada Jumaat sedang menunggu pengesahan mangsa yang dipercayai berada di dalam pesawat tersebut.

Pesawat ATR 72-500 yang membawa 61 orang termasuk penumpang dan anak kapal dilaporkan terhempas kira-kira pukul 1.30 tengah hari (1630 GMT) di bandar Vinhedo pada Jumaat di negeri Sao Paulo, Brazil dan kesemuanya terkorban.

Orang ramai kini sedang mencari maklumat sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga mereka yang berada dalam penerbangan itu, kata saudara kepada salah seorang mangsa Diuly Della Santa kepada media tempatan.

Santa menambah bahawa mereka tidak diberi akses senarai penumpang di atas kapal itu.

Pegawai bandar di Valinhos dekat Vinhedo berkata tiada mangsa terselamat dalam nahas itu dan hanya sebuah rumah di kompleks kondominium tempatan itu rosak, manakala tiada penduduk dilaporkan cedera.

"Saya tahu ramai orang yang belum dapat mengesahkan (sekiranya saudara mereka meninggal dunia). Kebanyakan orang yang berada di sini tidak dapat apa-apa maklumat, ramai yang tidak dapat rekod. Jadi mungkin ada isteri, ibu atau anak tetapi mereka belum menerima rekod (penumpang) kerana mereka tidak mempunyai akses kepada senarai itu," kata Santa. - REUTERS

TETITIA YUSOFF