(Pesawat Korean Air yang terbabas dari landasan di
Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan Cebu/FOTO Alan Tangcawan)
MANILA, 24 Oktober - Sebuah pesawat Korean Air Lines melepasi landasan lalu terbabas di Lapangan Terbang Antarabangsa Cebu di Filipina lewat Ahad.
Menurut kenyataan dikeluarkan syarikat penerbangan terbabit, tiada kecederaan dilaporkan dan 173 penumpang dan kru telah selamat dipindahkan.
Pesawat Airbus SE A330 yang terbang dari Seoul ke Cebu cuba mendarat dua kali dalam cuaca buruk sebelum melanggar landasan pada percubaan ketiga pada jam 11.07 malam waktu tempatan.
Kesemua penumpang juga diiringi ke tiga hotel tempatan dan syarikat penerbangan terbabit sedang mengatur penerbangan alternatif.
Pihaknya juga sedang mengenal pasti punca kejadian mengenai penerbangan KE361.
Gambar yang tidak disahkan dari tempat kejadian tular di media sosial menunjukkan kerosakan pada pesawat, dengan gear pendaratan kelihatan runtuh.
(Bahagian depan yang rosak dari pesawat Korean Air selepas ia melepasi landasan
di Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan Cebu di Cebu, tengah Filipina)
Presiden Korean Air, Keehong Woo mengeluarkan surat permohonan maaf berhubung penerbangan itu di laman web syarikat penerbangan berkenaan.
Tambahnya, siasatan menyeluruh akan dilakukan dengan pihak berkuasa penerbangan tempatan serta pihak berkuasa Korea untuk menentukan punca kejadian.
Woo berkata syarikatnya komited berpegang pada janji untuk beroperasi dengan selamat serta melakukan yang terbaik daripada mencegahnya daripada terus berulang.
Sementara itu, pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Mactan-Cebu berkata, landasan itu ditutup buat sementara waktu bagi memberi laluan untuk penilaian keselamatan.
Berdasarkan laman web Aviation Safety Network yang merekod kemalangan penerbangan, Korean Air tidak mengalami kemalangan maut melibatkan penumpang sejak 1997.
Sebelum ini, syarikat penerbangan itu turut mempunyai rekod keselamatan yang lemah dan pernah meminta bantuan luar daripada Boeing dan Delta Air Lines untuk meningkatkan piawaian keselamatannya. - REUTERS