fb fb fb fb fb

Pesawat kargo terhempas bawa senjata

(Serpihan dilihat di lokasi nahas pesawat kargo Antonov An-12
milik syarikat Ukraine, berhampiran Kavala, Greece/REUTERS)



ATHENS, 17 Julai- Sebuah pesawat kargo Ukraine yang terhempas, membawa bekalan senjata dari Serbia ke Bangladesh.

Gambar dron tempat kejadian menunjukkan serpihan pesawat Antonov An-12 bertaburan di ladang.

Pihak berkuasa Greece memaklumkan, seramai lapan anak kapal maut, manakala jurucakap Kementerian Luar Ukraine berkata, semua krew pesawat ialah warga Ukraine.

Menteri Pertahanan Serbia, Nebojsa Stefanovic, berkata pesawat itu membawa produk tentera seberat 11.5 tan yang dihasilkan industri pertahanan negara itu, dan pembeli ialah Kementerian Pertahanan Bangladesh.

Beliau mengesahkan semua anak kapal maut.

Pihak berkuasa Greece tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai muatan pesawat, namun unit tindak balas bencana khas dan pakar ketenteraan sudah dikerahkan untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, Stefanovic memaklumkan muatan itu merangkumi peluru mortar iluminasi dan peluru latihan.


(Serpihan dilihat di lokasi nahas pesawat kargo Antonov An-12 milik
syarikat Ukraine, berhampiran Kavala, Greece/REUTERS)

Beliau berkata, pesawat itu berlepas jam 1840 GMT dari Nis, Serbia.

Katanya, muatan pesawat dimiliki oleh syarikat Serbia, Valir, yang berdaftar sebagai syarikat perniagaan bagi perdagangan luar membabitkan kelengkapan persenjataan ketenteraan dan produk pertahanan lain.

Media ERT melaporkan, isyarat pesawat itu hilang sebaik saja juruterbang memohon kepada pihak berkuasa Greece untuk melakukan pendaratan kecemasan akibat masalah enjin. -REUTERS

Berita berkaitan
Pesawat kargo terhempas berhampiran bandar Kavala di utara Greece

Media Baharu