fb fb fb fb fb

Ghana catat kes virus Marburg pertama

ACCRA, 18 Julai- Dua kes virus Marburg yang membawa maut telah dikesan di Ghana, kali pertama penyakit seperti Ebola itu ditemui di negara Afrika Barat.

Pada awal Julai, sampel darah yang diambil daripada dua orang di wilayah Ashanti selatan menunjukkan positif virus Marburg.

Sampel dihantar ke Institut Pasteur di Senegal yang mengesahkan diagnosis, kata Perkhidmatan Kesihatan Ghana (GHS).

"Ini adalah kali pertama Ghana mengesahkan Penyakit Virus Marburg," kata ketua GHS Patrick Kuma-Aboagye dalam satu kenyataan.

Tiada rawatan atau vaksin wujud untuk Marburg, penyakit membunuh yang hampir sama dengan Ebola. Gejalanya termasuk demam panas serta pendarahan dalaman dan luaran.

Sejumlah 98 orang yang dikenal pasti sebagai kontak kini berada bawah kuarantin, kata kenyataan GHS, sambil menyatakan bahawa tiada kes Marburg lain masih dikesan di Ghana.

WHO berkata Guinea telah mengesahkan satu kes dalam wabak yang diisytiharkan berakhir pada September 2021.

Wabak sebelumnya dan kes sporadik Marburg di Afrika telah dilaporkan di Angola, Republik Demokratik Congo, Kenya, Afrika Selatan dan Uganda, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Virus Marburg boleh merebak daripada haiwan yang dijangkiti, termasuk kelawar.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan gua yang didiami koloni kelawar dan memasak semua produk daging dengan sempurna sebelum dimakan,” nasihat pihak berkuasa kesihatan Ghana.

Selain itu, sesiapa yang dikenal pasti pernah berhubung dengan penghidap, termasuk kakitangan perubatan, mesti mengasingkan diri.

Penyakit virus itu menyerang penghidap secara tiba-tiba, dengan demam panas dan sakit kepala yang teruk.

Kadar kematian dalam kes yang disahkan berkisar antara 24 peratus hingga 88 peratus dalam wabak sebelumnya, bergantung kepada kekuatan virus dan pengurusan kes, menurut WHO.- AFP

 


(Foto Hiasan)

Media Baharu