fb fb fb fb fb

Kes pengkhianatan tinggi, Presiden Ukraine pecat ketua pendakwa raya dan ketua agensi keselamatan negara

(Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky)

 

KIEV, 18 Julai- Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Ahad memecat ketua pendakwa rayanya dan ketua agensi keselamatan negara itu dalam rombakan kerajaan terbesar sejak permulaan pencerobohan Rusia hampir lima bulan lalu.

Zelensky berkata beliau memecat Ketua Pendakwa, Iryna Venediktova dan ketua keselamatan Ivan Bakanov ketika negara berdepan bilangan kes yang tinggi disyaki pengkhianatan oleh pegawai penguatkuasa undang-undang Ukraine.

"Hari ini, saya membuat keputusan untuk melepaskan tugas mereka sebagai ketua pendakwa raya dan ketua perkhidmatan keselamatan Ukraine," kata Zelensky dalam ucapan hariannya kepada negara itu.

Zelensky berkata, lebih 650 kes disyaki pengkhianatan serta bersubahat dengan Rusia oleh pegawai keselamatan Ukraine sedang disiasat, termasuk 60 kes pegawai yang kekal di wilayah yang diduduki oleh Rusia dan bekerja menentang Ukraine.

"Sejumlah besar jenayah terhadap asas keselamatan negara dan hubungan yang terjalin antara pegawai penguatkuasa undang-undang Ukraine dan perkhidmatan khas Rusia menimbulkan persoalan yang sangat serius kepada pemimpin yang berkaitan," kata Zelensky.

"Setiap soalan itu akan dijawab."

Venediktova telah mengetuai siasatan Ukraine terhadap dakwaan kekejaman yang dilakukan oleh pencerobohan tentera Rusia di bandar Bucha di luar Kyiv, yang menyebabkan kemarahan antarabangsa. -AFP

 


(Ketua Pendakwa, Iryna Venediktova)

Media Baharu