fb fb fb fb fb

Pesawat India dari Frankfurt terima ancaman bom palsu

Foto Reuters

BENGALURU, 17 Oktober - Sebuah penerbangan dari Frankfurt ke Mumbai menjadi sasaran ancaman bom palsu terbaharu dalam siri ancaman yang dibuat terhadap syarikat penerbangan India, kata Vistara Airlines pada Khamis.

Pesawat tersebut mendarat dengan selamat di Mumbai.

Lebih daripada 12 ancaman bom palsu telah diterima daripada pelbagai syarikat penerbangan India minggu ini, memaksa pihak kerajaan dan pihak berkuasa penerbangan awam mengeluarkan amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Menurut kenyataan Vistara, penerbangan yang berlepas dari Frankfurt itu menerima "ancaman keselamatan" di media sosial, namun berjaya mendarat di destinasinya tanpa sebarang insiden.

"Kami bekerjasama sepenuhnya dengan agensi keselamatan bagi melengkapkan pemeriksaan keselamatan yang diperlukan," kata Vistara.

Sementara itu, Menteri Penerbangan India, Ram Mohan Naidu berkata pihak polis telah menahan seorang remaja yang bertanggungjawab atas tiga ancaman bom palsu terhadap penerbangan minggu ini.

"Semua individu yang bertanggungjawab akan dikenal pasti dan akan diambil tindakan sewajarnya," tegas Naidu.

Penerbangan yang terjejas termasuk sebuah pesawat Air India yang terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Kanada ketika dalam perjalanan dari New Delhi ke Chicago pada Selasa.

Pada hari yang sama, Singapura mengerahkan jet pejuang untuk mengiringi pesawat Air India Express selepas menerima ancaman yang sama.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN