LISBON, 3 Jun- Seorang juruterbang terbunuh dan seorang lagi mengalami kecederaan selepas dua pesawat kecil bertembung di udara semasa melakukan pertunjukan dekat selatan Portugal, semalam.
"Tentera udara dukacita mengumumkan bahawa pada pukul 4.05 petang waktu tempatan di Pertunjukan Udara Beja, dua daripada enam pesawat terlibat kemalangan ketika melakukan demontrasi udara," kata tentara udara dalam satu kenyataan ringkas.
Mangsa yang maut adalah juruterbang warga Sepanyol, manakala juruterbang warga Portugal cedera ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Beja.
Tambah kenyataan itu, enam pesawat berkenaan adalah milik pasukan aerobatik terdiri daripada juruterbang Sepanyol dan Portugis bernama "Yak Stars", manakala pesawat yang berlanggar adalah Yakovlev Yak-52, model latihan aerobatik rekaan Soviet.
Menteri Pertahanan, Nuno Melo menyifatkan ia sebagai "kemalangan tragis" dan memberitahu pemberita bahawa siasatan akan dibuka bagi menentukan punca sebenar perlanggaran itu.
Video yang dirakam oleh penonton dan disiarkan di media sosial menunjukkan pembentukan enam pesawat di udara, dengan salah satu daripadanya naik, merempuh sebuah pesawat sebelum terhempas ke tanah.
Ia terhempas di luar kawasan pangkalan udara, manakala pesawat kedua berjaya mendarat di landasan lapangan terbang.
Disebabkan insiden itu, penganjur pertunjukan di Lapangan Terbang Beja menangguhkan acara berkenaan, yang bermula pada Sabtu lalu. -AFP