JAKARTA, 3 Jun- Gunung Ibu yang terletak di Pulau Halmahera Barat, wilayah Maluku Utara, meletus lagi pada pukul 12.45 tengah hari waktu Indonesia timur semalam, memuntahkan awan mengandungi abu sehingga kira-kira tujuh kilometer dari kawah puncak utama selama kira-kira 10 minit.
Letusan itu juga mengeluarkan pasir yang dibawa ke arah barat oleh angin sehingga sampai ke pos pemerhatian gunung berapi dan pusat perlindungan sementara di Kampung Gam Ici, yang dihuni beberapa penduduk susulan peningkatan letusan baru-baru ini.
"Keadaan semasa letusan adalah agak tenang, tanpa ada panik dalam kalangan penduduk," kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Abdul Muhari dalam satu kenyataan.
Abdul Muhari menyatakan bahawa abu Gunung Ibu tidak jelas kelihatan dari pos pemerhatian kerana kabus tebal dan awan.
"Bagaimanapun, awan yang mengandungi abu nampaknya menjulang tinggi ke langit dari Kampung Duono," katanya, sambil menambah bahawa kakitangan BNPB dan Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Halmahera Barat (BPBD) berada di kawasan terjejas untuk memantau dan melaksanakan langkah kecemasan yang diperlukan.
Setakat semalam, pihak berkuasa mula memindahkan penduduk membabitkan lebih 2,500 orang ke pusat perlindungan.
Gunung Ibu adalah salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia, meletus lebih 21,000 kali pada tahun lepas. Tahun lalu, ia mencatatkan purata 58 letusan setiap hari. -AFP