fb fb fb fb fb

Pesakit di Gaza terus derita, hospital di ambang runtuh - PBB

Ibrahim Al-Banna (kanan) menjaga anaknya, Karim Al-Banna di hospital susulan kecederaan akibat serpihan peluru/Reuters

GAZA, 20 Mei- Keadaan pesakit di hospital Gaza semakin terdesak apabila hospital-hospital di wilayah itu hampir lumpuh sepenuhnya akibat kekurangan sumber, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Petugas kesihatan tempatan memaklumkan bahawa serangan udara Israel mengorbankan lebih 500 nyawa, dalam tempoh lapan hari terakhir termasuk sekurang-kurangnya 40 orang pada Isnin.

Menerusi rakaman yang disalurkan oleh PBB, seorang pesakit cedera, Awad Al-Arabeed yang dirawat lebih dua bulan di Kompleks Perubatan Al-Shifa, berkata kakitangan perubatan telah melakukan sebaik mungkin meskipun kekangan kemudahan menjejaskan mutu rawatan dan kesihatan pesakit.

"Doktor telah berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik tetapi kekurangan sumber menyebabkan mutu rawatan menurun dan menjejaskan kesihatan pesakit," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ibrahim Al-Banna yang sedang menenangkan anaknya yang cedera akibat serpihan peluru berhampiran buah pinggang.

"Kami merayu kepada doktor, tetapi mereka sendiri sudah letih kerana terlalu ramai pesakit yang dibawa masuk. Mereka hampir tidak mampu berdiri kerana terlalu penat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan pada Isnin bahawa Israel tetap akan menguasai keseluruhan Gaza meskipun menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, termasuk desakan untuk menamatkan sekatan bantuan kemanusiaan.

Berdasarkan laporan pihak berkuasa kesihatan Gaza, kempen ketenteraan darat dan udara Israel telah memusnahkan sebahagian besar Gaza, memaksa hampir semua penduduknya meninggalkan tempat tinggal dan meragut lebih 53,000 nyawa.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM