KAHERAH, 23 Februari - Israel akan mengambil bahagian dalam rundingan pada hujung minggu ini di Paris bersama Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Mesir mengenai potensi perjanjian untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza, menurut sumber yang diberi taklimat mengenai perkara itu dan media Israel.
Rundingan terakhir mengenai gencatan senjata itu, dua minggu lalu gagal apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak cadangan Hamas untuk gencatan senjata selama empat hingga setengah bulan yang akan berakhir dengan pengunduran Israel.
Namun, ketua kumpulan pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh yang berada di Mesir minggu ini membuktikan dalam beberapa minggu ini bahawa rundingan masih lagi berlangsung.
Televisyen Channel 12 Israel melaporkan pada Khamis bahawa kabinet perang telah meluluskan untuk menghantar perunding yang diketuai oleh ketua perkhidmatan perisikan, Mossad David Barnea ke Paris pada Jumaat untuk rundingan mengenai perjanjian yang berpotensi untuk membebaskan lebih daripada 100 tebusan yang diculik dari Israel pada Oktober.
Pengarah CIA, William Burns, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan ketua perisikan Mesir, Abbas Kamel juga akan mengambil bahagian dalam mesyuarat di Paris, kata sumber itu pada Khamis.
Terdahulu pada Khamis, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata perunding tebusan negara itu diberi kuasa yang diperluaskan.
Desakan usaha diplomatik nampaknya semakin meningkat menjelang cuti Ramadan selama sebulan, yang bermula pada 10 Mac.
“Kami menumpukan perhatian serius untuk cuba mendapatkan persetujuan yang menghasilkan pembebasan tebusan yang tinggal dan yang menghasilkan gencatan senjata kemanusiaan yang dilanjutkan,” kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken kepada wartawan di Brazil.
Utusan AS di Asia Barat, Brett McGurk mengadakan mesyuarat "membina" di Mesir dan Israel, termasuk dengan Netanyahu, pada Khamis, kata jurucakap keselamatan negara White House, John Kirby.
Seorang pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, memberitahu Reuters bahawa Israel bertanggungjawab atas kekurangan kemajuan dan berundur mengikut syarat yang diterimanya beberapa minggu lalu dalam cadangan gencatan senjata sebelum ini.
“Pendudukan (Israel) tidak berminat untuk mencapai sebarang persetujuan,” katanya.
Tiada tindak balas segera daripada pegawai Israel.
Netanyahu berkata jika Hamas menunjukkan fleksibiliti, kemajuan akan dapat dicapai.
Hamas berkata ia tidak akan membebaskan baki tebusan melainkan Israel bersetuju untuk menamatkan pertempuran dan berundur dari Gaza.
Israel berkata ia tidak akan keluar sehingga Hamas dihapuskan.-REUTERS