fb fb fb fb fb

Perubahan iklim meningkatkan gelombang haba di Britain 10 kali lebih tinggi: Kajian

(Foto hiasan/AFP)

PARIS, 29 Julai- Perubahan iklim akibat aktiviti manusia menjadikan gelombang haba yang merekodkan suhu tertinggi bulan ini di Britain, berisiko terjadi 10 kali lebih tinggi. Ramalan itu dikeluarkan penyelidik hari ini.

Timur England merekodkan suhu 40.3 darjah Celsius (104.5 darjah farenheit) tertinggi sepanjang zaman dan cuaca panas itu menyebabkan kebakaran serta memusnahkan berpuluh-puluh rumah di London.

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya 34 lokasi di Britain merekodkan suhu panas melampau pada 20 Julai, apabila gelombang panas memuncak di Eropah barat.

Menerusi kajian itu, pasukan penyelidik mewujudkan model kemungkinan kejadian cuaca panas melampau seperti itu berlaku sebelum era perindustrian bermula iaitu pada pertengahan abad ke-19.

Pasukan itu kemudian membandingkan model itu dengan gelombang haba semasa – iaitu dengan purata kadar kepanasan planet hampir 1.2C lebih panas berbanding pada zaman praindustri.

Mereka memberi tumpuan kepada suhu maksimum di wilayah Britain yang paling terjejas -- tengah England dan timur Wales -- dan mendapati rekod suhu panas semasa itu berkemungkinan terjadi sekurang-kurangnya 10 kali lebih tinggi disebabkan gas rumah hijau kesan akitiviti manusia yang seterusnya menyebabkan pemanasan global.

Kajian itu juga mendapati, kejadian suhu panas melampau di seluruh Eropah telah meningkat lebih daripada yang dianggarkan oleh model iklim tersebut.

Model janaan komputer menganggarkan bahawa pelepasan gas rumah hijau meningkatkan suhu dalam gelombang haba pada Julai sebanyak 2C. Tetapi sebenarnya, gelombang haba adalah 4C lebih panas.

"Di Eropah dan bahagian lain di dunia kita melihat semakin banyak kawasan merekodkan gelombang haba tertinggi menyebabkan suhu melampau yang menjadi lebih cepat daripada kebanyakan model iklim," kata Friederike Otto, pensyarah kanan sains iklim di Imperial College London's Grantham Institute untuk Perubahan Iklim.

"Ia penemuan yang membimbangkan menunjukkan bahawa jika pelepasan karbon tidak segera dihalang, kesan perubahan iklim ke atas cuaca panas Eropah, yang sudah berada pada tahap melampau, berisiko menjadi lebih buruk daripada apa yang diramalkan sebelum ini," kata Otto. -AFP


(Kesan gelombang haba yang mencetuskan kebakaran di Taman Negara Bohemian Switzerland pada 25 Julai 2022/AFP)

Media Baharu