fb fb fb fb fb

Pertikaian Laut China Selatan tidak wajar jejas kerjasama China-ASEAN

BEIJING, 29 Oktober- China dan empat negara pesisir ASEAN yang terlibat dalam tuntutan wilayah bertindih di Laut China Selatan tidak seharusnya membenarkan pertikaian itu mengehadkan kerjasama maritim dan dua hala mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asia Kementerian Luar Liu Jinsong berkata sebaliknya semua pihak wajar bekerjasama untuk benar-benar menjayakan lautan sebagai laut keamanan, persahabatan dan kerjasama.

Pertelingkahan di Laut China Selatan bukanlah satu-satunya isu, kita boleh menjalin lebih banyak kerjasama (di Laut China Selatan) seperti yang saya sebutkan sebagai ekonomi biru, kerjasama pelabuhan atau perikanan. Kita perlu menekankan dan menumpukan pada bidang kerjasama dan bukan pada bidang pertikaian," katanya kepada pemberita antarabangsa, kebanyakannya dari ASEAN di sini baru-baru ini.

Selain Malaysia, pertikaian wilayah di Laut China Selatan dengan China juga melibatkan Filipina, Vietnam dan Taiwan.

Mengakui bahawa Malaysia dan China mempunyai beberapa isu membabitkan Laut China Selatan, Liu bagaimanapun memuji cara kedua-dua negara mengendalikan isu maritim dengan menggunakan saluran dan perbincangan dua hala yang telah membantu menangani banyak masalah.

“Penting untuk kita tidak memperbesar atau merumitkan isu Laut China Selatan ini. Kita wajar terus berwaspada terhadap beberapa kuasa luar yang sedang berusaha untuk campur tangan untuk manfaat sendiri dengan mengorbankan yang lain,” katanya.

Menyedari pentingnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982, Liu berkata China telah menandatangani dan melaksanakan sepenuhnya konvensyen itu namun undang-undang itu bukanlah satu-satunya jalan perundangan dalam menangani isu maritim.

“Kes timbang tara di Laut China Selatan terbatal dan tidak sah kerana ia melangkaui sempadan UNCLOS dan ia juga membuat tafsiran yang salah tentang intipati UNCLOS. Jadi China tidak akan menjadi sebahagian daripadanya,” kata beilau.

Ditanya tentang maklumat terkini mengenai rundingan Kod Tata Laku (CoC) di Laut China Selatan, Liu berkata pertikaian itu mempunyai sejarah yang panjang dan agak rumit, justeru ia memerlukan masa untuk mengadakan perbincangan yang lengkap dan mendalam.

(FOTO AFP)

Beliau juga berkata jika tiada campur tangan luar atau sabotaj dari luar dan rundingan dijalankan hanya dalam kalangan pihak yang terlibat secara langsung, proses itu akan berjalan dengan lancar.

Malaysia sendiri tegas dengan pendiriannya bahawa perkara berkaitan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman dan konstruktif, dan mesti diselesaikan mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal, termasuk UNCLOS 1982. -BERNAMA

Media Baharu