fb fb fb fb fb

Pertempuran di utara Myanmar, puluhan ribu orang hilang tempat tinggal

Foto AFP

YANGON, 10 November- Hampir 50,000 orang telah kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran di utara Myanmar selepas pakatan kumpulan etnik bersenjata melancarkan serangan terhadap tentera, dua minggu lalu.

Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, pertempuran berlaku di seluruh negeri Shan, berhampiran sempadan China.

Pertempuran itu antara cabaran terbesar ketenteraan junta sejak mula merampas kuasa pada 2021.

Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA), Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta'ang (TNLA) dan Tentera Arakan (AA) berkata mereka telah merampas berpuluh-puluh pos tentera dan menyekat laluan perdagangan penting ke China.

"Sehingga 9 November, hampir 50,000 orang di utara Shan telah dipaksa berpindah," kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOCHA) dalam kemas kini.

Kesan pertempuran itu mengakibatkan gangguan perkhidmatan internet dan telefon, sekatan pengangkutan selain halangan ketersediaan wang tunai, untuk kumpulan kemanusiaan menghulurkan bantuan.

Tambah UNOCHA, seramai 40,000 orang lagi telah kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran antara tentera dan penentangnya di wilayah jiran Sagaing dan negeri Kachin sejak awal November.

Presiden junta turut mengulas, bahawa negara itu mungkin boleh berpecah kepada pelbagai bahagian, jika tentera tidak dapat menguruskan pertempuran yang timbul.

Beijing, sekutu utama junta dan pembekal senjata, pada Selasa mengesahkan terdapat korban warga China akibat pertempuran di negara itu.

Jurucakap kementerian luar tidak dapat menyatakan bahawa mangsa terselamat atau hanya mengalami kecederaan.

Sagaing, yang bersempadan dengan negeri Shan dan Kachin, telah menjadi lokasi panas penentangan terhadap pemerintahan junta.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM