BEIJING, 16 Ogos - Robot humanoid mengambil bahagian dalam acara lompat tinggi, gimnastik dan larian berhalangan 100 meter pada hari kedua World Humanoid Robot Games di Beijing.
Pertandingan yang disertai pasukan universiti dan syarikat swasta dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman dan Brazil itu bertujuan menguji serta mempertingkatkan keupayaan teknologi robotik.
Dalam acara lompat tinggi, robot melakukan lompatan tanpa menggunakan galah dengan catatan ditentukan berdasarkan bahagian tubuh terendah yang mencapai titik paling tinggi. Jurutera menggunakan teknologi penangkapan pergerakan (motion capture) dan perisian khas untuk merekod keputusan.
Menurut jurutera syarikat Noitom Technology, Liu Haoyang, pihaknya akan mengumpul lebih banyak data pergerakan atlet manusia terbaik sebagai rujukan bagi melatih robot melakukan lompatan lebih sempurna pada edisi akan datang.
Sebanyak 192 pasukan mewakili universiti dan 88 daripada sektor swasta mengambil bahagian. Syarikat Noetix Robotics pula membekalkan rangka robot untuk tiga pasukan dalam acara gimnastik.
Jurutera algoritma, Li Shengtao berkata kejohanan ini membantu memperhalusi sistem pembelajaran mesin.
Penganjur menyifatkan temasya itu sebagai platform penting bagi pengumpulan data sekali gus menyokong pembangunan robot untuk kegunaan praktikal, termasuk dalam sektor perindustrian. -REUTERS