ISLAMABAD, 16 Ogos -Sekurang-kurangnya 225 orang terkorban dalam kejadian banjir kilat di utara Pakistan yang dicetuskan hujan monsun lebat sejak dua hari lalu, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA).
Seramai 211 mangsa dilaporkan terkorban di wilayah pergunungan Khyber Pakhtunkhwa, sembilan di wilayah Kashmir manakala lima lagi di kawasan utara Gilgit-Baltistan.
Kebanyakan mangsa yang terkorban berpunca daripada banjir kilat dan kejadian rumah runtuh, sementara 21 orang lagi dilaporkan cedera.
Jabatan meteorologi telah mengeluarkan amaran hujan lebat di kawasan barat laut Pakistan dan menggesa orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Kerajaan wilayah telah mengisytiharkan beberapa daerah pergunungan yang paling teruk terjejas termasuk Buner, Bajaur, Swat, Shangla, Mansehra dan Battagram sebagai kawasan bencana.
Sementara itu, agensi penyelamat wilayah memaklumkan kepada AFP bahawa kira-kira 2,000 anggota penyelamat sedang terlibat dalam usaha mencari mangsa yang tertimbus serta menjalankan operasi bantuan di sembilan daerah terjejas.
"Hujan lebat, tanah runtuh di beberapa kawasan, serta jalan yang musnah menyukarkan penghantaran bantuan, terutama bagi mengangkut jentera berat dan ambulans,” kata jurucakap agensi penyelamat Khyber Pakhtunkhwa, Bilal Ahmed Faizi.
"Disebabkan kebanyakan laluan ditutup, anggota penyelamat terpaksa berjalan kaki untuk menjalankan operasi di kawasan pedalaman," tambahnya. - AFP