Bangkok, 24 Disember - Thailand menolak permintaan Kemboja untuk mengadakan rundingan dua hala di negara berkecuali.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Surasant Kongsiri berkata, Bangkok bertegas mesyuarat bagi rundingan syarat gencata senjata itu diadakan di Chanthaburi seperti dijadual bermula hari ini.
"Kami memberi jaminan keselamatan di Chanthaburi. Bagaimanapun, mesyuarat sehingga Sabtu itu sama ada berlangsung atau tidak bergantung kepada Kemboja,"katanya.
Dalam pada itu, jurucakap Kerajaan Kemboja memaklumkan Phnom Penh belum menerima maklumat terkini berhubung lokasi rundingan.
Semalam, Kemboja meminta agar rundingan diadakan di Kuala Lumpur atas faktor keselamatan.
Konflik sempadan yang kembali memuncak bulan ini, telah mengorbankan lebih 40 nyawa dan lebih 900,000 individu dipindahkan.-AFP