fb fb fb fb fb

Perhimpunan Agung PBB akan bincang isu penggabungan empat wilayah Ukraine

(Vasily Nebenzya menghadiri undian di Majlis Keselamatan PBB mengenai resolusi untuk
tidak mengiktiraf pengilhakan empat wilayah Ukraine oleh Rusia,30 Sept 2022/AFP)

NEW YORK, 5 Oktober- Mesyuarat tergempar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu akan diadakan Isnin depan untuk membincangkan status penggabungan empat wilayah Ukraine yang diisytiharkan oleh Rusia, kata seorang jurucakap PBB.

193 negara anggota PBB akan mempertimbangkan resolusi yang kini dalam persiapan mengenai pengilhakan, selepas Rusia memveto kutukan dalam Majlis Keselamatan minggu lalu, kata sumber diplomatik

Jurucakap Perhimpunan Agung Paulina Kubiak berkata badan itu akan bertemu atas permintaan Ukraine dan Albania mengenai isu tersebut pada 3:00 petang (1900 GMT) Isnin.

Jumaat lepas, Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan bahawa Moscow telah mengambil alih empat wilayah Ukraine yang mengadakan referendum bagi mendapatkan pandangan penduduk tempatan.


(Logo Pertubuhan Bangsa Bersatu dilihat di Dewan Perhimpunan Agung di New York City,
21 September 2021/REUTERS)

Putin serta-merta mendapat kecaman hampir seluruh dunia atas tindakan itu.

Beberapa jam kemudian Majlis Keselamatan PBB bermesyuarat untuk membincangkan perkembangan itu tetapi duta Rusia memveto resolusi AS-Albania yang melabelkan referendum berkenaan sebagai "haram" dan menggesa semua negara agar tidak mengiktiraf penggabungan tersebut.

Resolusi itu juga menggesa Rusia supaya segera mengundurkan tenteranya dari Ukraine.

Selepas veto, Amerika Syarikat berkata Washington akan membawa isu berkenaan ke Perhimpunan Agung, platform yang menyaksikan setiap negara mempunyai satu undi dan tiada satu pun mempunyai kuasa veto.

Sumber diplomatik berkata satu resolusi sedang dirangka oleh Kesatuan Eropah bersama Ukraine dan negara lain. -AFP

Media Baharu