fb fb fb fb fb

Pergaduhan di kelab malam, 11 orang ditahan, siasatan 18 orang mati

 

FOTO AFP


SORONG, 30 Januari- Sebelas individu ditahan selepas kes pergaduhan yang meragut 18 nyawa di sebuah kelab malam, Double O.

Pergaduhan yang berlaku Selasa lalu menyebabkan kebanyakan yang maut akibat terperangkap dalam kebakaran.

Ketua Polis Papua Barat, Tornagogo Sihombing, mengesahkan penahanan 11 individu itu, dengan dua daripadanya dipercayai menikam seorang mangsa sementara tujuh lagi suspek sedang diburu.

Sembilan lagi yang ditahan dipercayai memulakan kebakaran yang meragut nyawa pengunjung dan pekerja kelab malam itu, termasuk seorang DJ jemputan dan anggota kumpulan nyanyian.

Menurut polis, tragedi Selasa lalu adalah sebahagian daripada pergaduhan berterusan antara dua kumpulan etnik dan kejadian terbaru itu berlaku akibat salah faham.

Suasana bertukar tegang apabila individu yang bergaduh mula menggunakan senjata seperti parang, panah dan bom botol molotov.

Pihak berkuasa kemudian memanggil pemimpin kedua-dua kumpulan etnik itu untuk menenangkan keadaan dan meminta mereka menyerahkan suspek. - AFP

Media Baharu