fb fb fb fb fb

Hungary bakal berdepan peningkatan kes sehingga 30,000 sehari

FOTO AFP

BUDAPEST, 30 Januari- Kes harian COVID-19 di Hungary dijangka meningkat sehingga 30,000 kes bagi tempoh satu atau dua minggu, berbanding sekitar 20,000 kes minggu ini.

Menteri Sumber Manusia Hungary, Miklos Kasler, dalam satu video di Facebook berkata, jangkaan itu berpunca daripada penularan varian Omicron yang amat mudah merebak.

Jelasnya, meskipun individu dijangkiti varian itu menunjukkan gejala kurang serius, satu pertiga daripada penduduk Hungary yang tidak divaksin akan berdepan risiko lebih tinggi.

Setakat ini, sekitar enam juta daripada 10 juta penduduk Hungary telah menerima dua dos vaksin COVID-19.

Biarpun kadar vaksinasi negara itu agak ketinggalan di Eropah barat, hampir 3.6 juta lagi telah menerima dos penggalak.

Ketika ini, Hungary menawarkan vaksin kepada semua individu tanpa perlu pendaftaran awal dan pemberian dos penggalak kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun.

Pada 13 Januari lalu, kerajaan Hungary mengumumkan suntikan vaksinasi keempat tersedia untuk mana-mana individu yang mahukannya, selepas mendapat pandangan doktor.

Hungary juga mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan dan guru.

Dalam masa sama, pemakaian pelitup muka turut diwajibkan di kebanyakan premis tertutup sejak hujung November tahun lalu. -REUTERS

Media Baharu