fb fb fb fb fb

Perdana Menteri Perancis letak jawatan selepas tewas undi percaya

François Bayrou (kiri) terpaksa meletak jawatan selepas Parlimen Perancis pada Isnin menolak usul undi percaya terhadap kerajaan pimpinan beliau / Foto REUTERS

PARIS, 9 September- Parlimen Perancis pada Isnin menolak usul undi percaya terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri François Bayrou, sekali gus memaksa beliau meletakkan jawatan hanya sembilan bulan selepas dilantik.

Presiden Dewan Negara, Yaël Braun-Pivet berkata, daripada 573 ahli parlimen yang mengambil bahagian, sebanyak 558 undi direkodkan dengan majoriti mutlak 280 undi.

Hanya 194 undi menyokong manakala 364 menolak.

“Dewan Negara tidak meluluskan deklarasi dasar kerajaan.

Menurut Artikel 50 Perlembagaan, perdana menteri mesti menyerahkan peletakan jawatan kerajaan kepada presiden,” katanya semasa mengumumkan keputusan undi.

Bayrou, 74, sebelum ini cuba mendapatkan sokongan parlimen terhadap strateginya mengurangkan defisit negara yang kini hampir dua kali ganda had 3 peratus Kesatuan Eropah, selain hutang awam yang mencecah 114 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Namun, cadangan penjimatan sebanyak 44 bilion euro dalam belanjawan tahun depan ditolak parti pembangkang yang enggan menyokong dasar tersebut menjelang pilihan raya presiden 2027.

Presiden Emmanuel Macron kini berdepan cabaran mencari perdana menteri baharu, yang juga merupakan perdana menteri kelima dalam tempoh kurang dua tahun, di tengah kebimbangan pasaran kewangan terhadap krisis politik dan kedudukan fiskal Perancis. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN