PARIS, 8 September - Perdana Menteri Perancis, François Bayrou, dijangka tewas dalam usul undi tidak percaya pada Isnin, sekali gus mencetuskan krisis politik baharu di negara kedua ekonomi terbesar Kesatuan Eropah (EU) itu.
Parti-parti pembangkang dari kedua-dua sayap telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka menolak kepimpinan Bayrou, 74, yang mengetuai kerajaan minoriti.
Ini bermakna beliau bakal kehilangan jawatan hanya selepas sembilan bulan memegang tampuk kuasa.
Bayrou sebelum ini mencetuskan kejutan termasuk dalam kalangan penyokongnya sendiri apabila mengumumkan usul undi tidak percaya secara mengejut.
Bayrou turut menyatakan bahawa beliau memerlukan mandat daripada parlimen bagi melaksanakan langkah penjimatan bagi mengurangkan hutang awam negara.
Beliau mencadangkan pakej belanjawan penjimatan bernilai €44 bilion (RM220 bilion), termasuk pemansuhan cuti umum dan pembekuan sebahagian besar perbelanjaan kebajikan.
Cadangan berkenaan ditentang oleh hampir semua pihak.
Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, kini dijangka menghadapi cabaran untuk melantik Perdana Menteri ketiga dalam tempoh setahun, dan yang kelima sejak penggal kedua beliau bermula pada 2022.
Selepas Macron membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya mengejut tahun lalu, Dewan Negara kini terbahagi kepada tiga blok utama iaitu sayap kiri, pusat dan sayap kanan.
Kekurangan undi majoriti daripada ketiga-tiga blok menyebabkan kebuntuan politik yang menyukarkan pelaksanaan dasar dan kelulusan belanjawan negara.
Tiada jaminan bahawa Perdana Menteri baharu yang dilantik akan mampu bertahan lama, kerana risiko undi tidak percaya yang berulang tetap tinggi.
Macron juga mempunyai pilihan untuk mengadakan pilihan raya parlimen sekali lagi, walaupun beliau sebelum ini menyatakan keengganannya untuk berbuat demikian.
Perancis kini menghadapi tekanan hebat untuk memperbaiki kedudukan kewangannya, dengan defisit hampir dua kali ganda daripada had 3% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan oleh EU tahun lalu.
Manakala hutang awam berada pada paras 113.9% daripada KDNK. - REUTERS