SHANGHAI, 16 Ogos – Perdagangan kopi antara China dan Brazil terus berkembang pesat apabila negara Amerika Selatan itu kini menjadi pembekal utama biji kopi ke China, sekali gus mengukuhkan hubungan dagangan dua hala.
Pada 2024, China mengimport 76,000 tan kopi dari Brazil, peningkatan 27.1 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sejak 30 Julai lalu, Beijing turut meluluskan 183 pengeksport kopi Brazil untuk tempoh lima tahun, langkah strategik yang membuka peluang besar kepada pengeluar kopi Brazil di pasaran China.
Juara World Barista 2023, Boram Julio Um yang juga usahawan kopi Brazil, menyifatkan perkembangan ini sebagai peluang jangka panjang untuk membina kerjasama erat dengan pengguna kopi di China.
Shanghai kini muncul sebagai hab kopi terbesar dunia dengan lebih 9,000 kedai kopi, mengatasi Tokyo dan New York. Usahawan tempatan, Annie Yip, berkata pertambahan pilihan biji kopi Brazil memberi kelebihan kepada pengimport dan peniaga untuk menawarkan lebih banyak variasi kepada pelanggan.
Bagi pengeluar kopi Brazil seperti Guilherme Milani, perdagangan ini memberi manfaat timbal balik kerana pasaran China mampu menyesuaikan pilihan kopi mengikut citarasa pengguna, sama ada kopi istimewa mahupun komersial.
Kerjasama dagangan ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Shanghai sebagai pusat budaya kopi global, malah dijangka menjamin pertumbuhan mampan industri kopi kedua-dua negara. -REUTERS