GAZA, 6 Mei- Hamas mengumumkan tidak lagi berminat meneruskan rundingan gencatan senjata dengan Israel.
Anggota Biro Politik Hamas, Basem Naim menegaskan, keputusan itu dibuat kerana rejim Zionis terus melancarkan "perang kelaparan" terhadap penduduk Gaza.
“Tidak ada gunanya melibatkan diri dalam perbincangan atau mempertimbangkan cadangan gencatan senjata baharu selagi perang kelaparan dan perang pemusnahan berterusan di Gaza,” katanya.
Bekas Menteri Kesihatan Gaza itu menyeru masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk menamatkan krisis kebuluruan, serangan dan pembunuhan.
Semalam, Tentera Israel memaklumkan, operasi ketenteraan diperluaskan di Gaza termasuk memindahkan "sebahagian besar" penduduknya.
Pada Ahad, kabinet keselamatan Israel meluluskan rancangan ketenteraan untuk meluaskan operasi bagi menakluk Gaza.
Tentera Israel kembali meneruskan serangan ke atas wilayah itu sejak 18 Mac lalu, menamatkan gencatan senjata selama dua bulan. - AFP